AARON dan Wooi Yik akan menentang beregu otai Indonesia di Terbuka Denmark esok.
AARON dan Wooi Yik akan menentang beregu otai Indonesia di Terbuka Denmark esok.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui sentiasa komited untuk mempersiapkan diri daripada aspek fizikal dan mental selepas beraksi pada kejohanan keempat berturut-turut.

Bekas juara dunia itu beraksi pada Terbuka Denmark ketika ini selepas mewakili negara dalam acara berpasukan dan individu di Sukan Asia Hangzhou dan Terbuka Artik di Finland, minggu lalu.

"Memang setiap kejohanan kami perlu bermula dari kosong. Saya fikir ini kali pertama kami akan bermain lima kejohanan berturut-turut, memang perlu buat persiapan terbaik dan menjaga tubuh badan kami.

"Walaupun masih dalam kejohanan, kami tetap meneruskan latihan fizikal di gimnasium," kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas aksi menentang Christo-Toma, semalam.

Selepas Terbuka Denmark, Aaron-Wooi Yik dijangka beraksi di Terbuka Perancis dekat Rennes minggu depan sekali gus kejohanan kelima berturut-turut yang bakal diharungi mereka.

Gandingan negara itu akan beraksi pada pusingan kedua esok bertemu pasangan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Rekod pertemuan nyata tidak memihak kepada pasangan negara yang hanya menang empat kali sepanjang 13 pertemuan antara mereka.

Minggu lalu di Terbuka Artik, Aaron-Wooi Yik tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang muncul naib juara di kejohanan berkenaan.

"Mungkin di Finland itu, kami bermain menentang rakan sepasukan dan ia bukan sesuatu yang mudah. Kami sudah berikan yang terbaik namun Wei Chong-Kai Wun bermain lebih baik pada hari itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 3:57 PM