SENG Zoe megah bersama pingat dimenanginya pada Terbuka Ireland malam tadi. FOTO Ihsan Instagram sengzoe
SENG Zoe megah bersama pingat dimenanginya pada Terbuka Ireland malam tadi. FOTO Ihsan Instagram sengzoe
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pemain badminton profesional negara Yeoh Seng Zoe mencipta kejuaraan kedua kariernya apabila memenangi Terbuka Ireland di Dublin, lewat malam tadi.

Pemain berusia 24 tahun itu, yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dua tahun lalu, menewaskan Mads Christophersen dari Denmark 21-18, 21-14 dalam masa 37 minit pada aksi final di National Indoor Arena.

Bekas juara B-21 kebangsaan berasal dari Pulau Pinang itu dipaksa berhempas-pulas beraksi dalam tiga set dalam empat pusingan terdahulu dan menyingkirkan seorang lagi bekas pemain BAM, Soong Joo Ven 21-11, 10-21, 21-17 dalam masa 64 minit pada separuh akhir.

"Juara Terbuka Ireland! Terima kasih kepada senior saya Lim Chi Wing dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin kerana memberi banyak tunjuk ajar berguna begitu juga jurulatih saya Nova Armada," tulis Seng Zoe ringkas dalam laman Instagram selepas kejayaannya malam tadi.

Ia kejuaraan kedua pemain itu, yang menghuni ranking ke-148 dunia selepas Siri Antarabangsa Nepal pada September 2019 apabila dia menewaskan pemain India, Swanaraj Bora pada perlawanan akhir.

Malaysia turut menjuarai acara beregu lelaki apabila Man Wei Chong-Tee Kai Wun meraih takhta ketiga mereka tahun ini selepas menundukkan beregu England, Rory Easton-Zach Russ 21-7, 21-17 dalam masa 26 minit pada aksi final.

Wei Chong-Kai Wun, yang turut muncul naib juara Terbuka Czech di Brno bulan lalu, menang Terbuka Poland pada Mac dan Antarabangsa Sepanyol tiga bulan kemudian.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami bintang muda perseorangan negara Ng Tze Yong, pemain yang dilabel sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei oleh pemain legenda itu sendiri apabila dia gagal meneruskan momentum kemenangan.

Tze Yong, yang menjuarai Antarabangsa Belgium di Leuven tiga minggu lalu, tersungkur di tangan pemain tuan rumah Nhat Nguyen 16-21, 20-22 pada suku akhir Jumaat lalu.

Teman wanitanya dari Kanada, Talia Ng bertindak lebih baik dalam perseorangan wanita apabila dia tewas pada separuh akhir di tangan pemain Denmark, Line Hojmark Kjaersfeldt dan suku akhir beregu wanita berpasangan dengan Zhang Wenyu.

Baru-baru ini, Tze Yong mengesahkan dalam laman sosial dia berpacaran dengan Talia sekalipun percintaan mereka boleh dianggap sebagai cinta jarak jauh, seorang di Malaysia dan seorang lagi di Kanada.

Kedua-duanya dijadualkan bertanding pada Terbuka Scotland di Glasgow bermula Khamis ini dan Terbuka Wales minggu berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 11:21 AM