CHONG Wei (tiga kanan) bersama barisan kepimpinan sukan negara menyaksikan perlawanan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
CHONG Wei (tiga kanan) bersama barisan kepimpinan sukan negara menyaksikan perlawanan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
Fabian Peter


Hangzhou: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menyeru peminat badminton Malaysia supaya tidak berputus asa terhadap skuad badminton negara.

Ia selepas barisan pemain negara gagal memenuhi sasaran dua pingat perak dan satu gangsa di Sukan Asia Hangzhou.

Semalam, kem badminton Malaysia mengakhiri kempen Sukan Asia dengan hanya meraih satu pingat gangsa, yang diperolehi menerusi bekas juara dunia iaitu beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Chong Wei, bekas pemenang pingat perak Sukan Asia, berada di Hangzhou untuk menyokong kontinjen Malaysia selepas dilantik selaku ahli jawatankuasa Road to Gold (RTG) dan juga pengurus pasukan untuk skuad badminton ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Chong Wei bertemu kumpulan media Malaysia untuk memberi penerangan berhubung apa yang boleh dijangkakan selepas ini daripada jawatankuasa RTG.

Bulan lalu, penyelaras program RTG, Datuk Stuart Ramalingam mendedahkan bahawa atlet yang berada dalam program itu akan diteliti semula kedudukan mereka selepas Sukan Asia.

Mengenai kemungkinan terdapat barisan pemain akan digugurkan daripada program itu, Chong Wei berkata: "Buat masa ini, tiada apa yang diputuskan lagi. Kami akan mengadakan mesyuarat pada 12 Oktober untuk meneliti perkara ini.

"Saya tahu skuad badminton gagal mencapai sasaran, tetapi saya harap peminat dan semua orang di tanah air tidak akan berputus asa dengan atlet kami.

"Dengan sokongan semua, saya percaya pemain memperoleh pengajaran daripada kekalahan mereka dan menjadi lebih kuat pada masa hadapan.

"Saya sudah menyertai empat Sukan Olimpik. Apa yang boleh saya lakukan ialah berkongsi pengalaman saya dengan pemain."

Chong Wei turut memberi komen prestasi dua pemain perseorangan negara, iaitu bekas juara Seluruh England, Lee Zii Jia dan pemain nombor 19 dunia, Ng Tze Yong.

Zii Jia dan Tze Yong masing-masing tewas dalam aksi berpasukan serta kandas di suku akhir acara individu.

"Zii Jia bertambah baik dan gaya permainannya sudah berubah. Dia bermain dengan lebih sabar sekarang dan bukan sahaja bergantung kepada kehebatan ketika menyerang.

"Bagi Tze Yong, saya sudah bercakap dengan kedua-dua jurulatih Rexy (Mainaky) dan Hendrawan untuk melihat cara bagi meningkatkan tahap permainannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 5:34 PM