CHONG Wei dan Zii Jia.
CHONG Wei dan Zii Jia.
BERNAMA

Kuala Lumpur: "Saya tidak akan menolak untuk bertanding di Sukan Komanwel," kata bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei.

Secara peribadinya Chong Wei berasakan bermain di Sukan Komanwel akan sentiasa menjadi keutamaan beliau kerana temasya itu hanya dianjurkan empat tahun sekali berbanding Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung setiap tahun kecuali pada tahun penganjuran Olimpik.

"Kejohanan Dunia lebih penting untuk karier, namun Sukan Komanwel lebih jauh pentingnya untuk negara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Legenda badminton negara berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan pemain profesional negara Lee Zii Jia yang menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham, yang dijadualkan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos.

Malam semalam, Zii Jia menerusi video yang dikongsikan kepada media menyatakan agak sukar untuknya berhadapan dengan jadual ketat sejak kebelakangan ini, selain mahu menumpukan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo dari 22-28 Ogos, sebagai alasan utama dia menarik diri dari Sukan Komanwel.

Chong Wei tidak pernah gagal memberikan Malaysia pingat emas untuk Malaysia dengan memenangi tiga emas dalam acara perseorangan lelaki, sejak mula mewakili negara pada edisi 2006 di Melbourne, Australia.

Namun pemain dari Pulau Pinang itu tidak menyertai edisi Glasgow 2014, disebabkan masalah kecederaan.

Juara tiga kali Sukan Komanwel itu menegaskan, penarikan diri Zii Jia tentunya akan memberikan masalah dan menyukarkan peluang skuad badminton untuk mencapai sasaran dua pingat emas di Birmingham, seperti ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), minggu lepas.

"Memang lebih berat untuk pemain perseorangan Malaysia untuk menang pingat emas, tidak mudah kerana ada pemain India, juara dunia 2021 dari Singapura Loh Kean Yew dan jangan lupa Bryan Yang dari Kanada," katanya.

Chong Wei juga percaya keputusan Zii Jia itu akan memberi kesan kepada cabaran Malaysia dalam acara berpasukan campuran, walaupun masih mempunyai pasangan beregu keenam dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pasangan wanita nombor 10 dunia Pearl Tan-M.Thinaah dan pemain berpengalaman Chan Peng Soon yang akan berpasangan dengan Cheah Yee See dalam beregu campuran.

Bagaimanapun, pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu berkata status Zii Jia sebagai pemain persendirian sejak awal tahun ini, menjadikan lebih mudah untuk juara Kejohanan Badminton Asia 2022 itu untuk tidak menyertai Birmingham.

"Fakta dia bukan lagi pemain pasukan kebangsaan menjadikan lebih mudah untuknya tidak bermain di Birmingham. Jika dia di pasukan kebangsaan, Sukan Komanwel tentunya menjadi keutamaan" katanya.

Sementaraitu Chong Wei berkata pemain perseorangan lelaki utama Persatuan Badminton Maysia Ng Tze Yong, tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk memikul tanggungjawab besar mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Zii Jia di Birmingham.

Oleh sebab itu beliau berharap pemain nombor 48 dunia itu akan bersedia secara mental dan menunjukkan permainan terbaiknya pada acara yang akan berlangsung di National Exhibition Centre.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 10:08 PM