PEARLY (kiri) dan Thinaah pamer aksi cemerlang. FOTO AFP
PEARLY (kiri) dan Thinaah pamer aksi cemerlang. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah cukup sukar digugat di Terbuka Hong Kong apabila melakar kemenangan pada aksi separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-10 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan gandingan adik beradik dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 21-13, 21-18 pada aksi yang berlangsung di Hong Kong Coliseum.

Kemenangan itu menyaksikan mereka akan berdepan pemenang perlawanan antara beregu Denmark, Maiken Fruergaard-Sara Thygesen dengan pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti bagi perebutan gelaran juara, esok.

Sebagai rekod, ini adalah pentas final kedua buat Pearly-Thinaah musim ini selepas muncul naib juara Masters Malaysia, Mei lalu.

Sementara itu, langkah pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei terhenti di separuh akhir selepas tewas di tangan pemain China, Zhang Yi Man.

Bekas juara remaja dunia dua kali itu terpaksa akur apabila tewas 14-21, 11-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 1:17 PM