Aksi S Kisona dalam saingan Piala Uber. FOTO Ihsan BAM
Aksi S Kisona dalam saingan Piala Uber. FOTO Ihsan BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad negara memulakan kempen Piala Uber dengan langkah kiri apabila tewas kepada tuan rumah, Denmark 1-4 pada saingan peringkat Kumpulan D yang berlangsung di Aarhus, Denmark, sebentar tadi.

Walaupun tewas pada perlawanan pertama itu, pujian harus diberikan kepada barisan pemain muda apabila tidak mudah mengalah dan tetap bersemangat memberi tentangan sengit kepada lawan yang berada pada ranking lebih baik.

Harapan negara untuk meraih mata pertama menerusi perseorangan wanita negara, S Kisona tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain ranking ke-18 dunia Mia Blichfeldt 11-21, 7-21.

Skuad Piala Uber negara terus kempunan untuk menyamakan kedudukan apabila pasangan beregu wanita negara Lee Meng Yean- M Thinaah tewas kepada Maiken Fruergaard-Sara Thygesen dalam pertembungan tiga set.

Pasangan yang baharu dibentuk itu tewas set pertama 19-21, sebelum bangkit pada set kedua 21-10 namun gagal meneruskan momentum pada set ketiga dengan tumpas 13-21 sekali gus memberi mata kedua kepada Denmark.

Perseorangan kedua wanita negara, Eoon Qi Xuan menghidupkan peluang buat skuad negara apabila berjaya menumpaskan Line Christophersen menarusi pertarungan tiga set untuk menghadiahkan mata pertama buat Malaysia.

Walaupun tumpas 18-21 pada set pertama, Qi Xuan tidak mudah mengalah apabila bangkit pada set kedua 21-18 sebelum mengesahkan kemenangan di set ketiga menerusi 21-15.

Momentum kemenangan itu gagal diteruskan pasangan kedua beregu wanita negara Teoh Mei Xing-Yap Ling yang tewas straight set 13-21,19-21 kepada pasangan Denmark Amalie Magelund-Freha Ravn sekali gus mengesahkan kemenangan tuan rumah pada perlawanan pertama itu.

Pengalaman luas jelas memberi kelebihan kepada Denmark apabila pemain perseorangan ketiga wanita negara K Letshanaa tumpas kepada Line Hojmark Kjaersfeldt 18-21, 14-21.

Skuad Piala Uber negara akan meneruskan cabaran dengan bertemu China esok sebelum mengakhiri saingan Kumpulan D bertemu Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 12:57 AM