THINAAH (kiri) dan Pearly perlu perbaiki corak permainan terutamanya sentiasa fokus dan mempamerkan aksi konsisten. FOTO Bernama
THINAAH (kiri) dan Pearly perlu perbaiki corak permainan terutamanya sentiasa fokus dan mempamerkan aksi konsisten. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah ternyata masih masih lagi tidak berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan mereka walaupun berjaya menempah slot ke final Terbuka Hong Kong, esok.

Terdahulu, pasangan yang berada di ranking ke 10 dunia tidak berdepan masalah untuk menundukkan gandingan adik-beradik dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 21-13, 21-18 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Hong Kong Coliseum.

Thinaah berkata, dia dan pasangannya perlu perbaiki corak permainan terutamanya sentiasa fokus dan mempamerkan aksi konsisten jika mahu meraih gelaran di Terbuka Hong Kong.

"Saya fikir kita perlu lebih fokus dan dan konsisten pada perlawanan nanti. Namun kemenangan di separuh akhir adalah bagus untuk meneruskan momentum terbabit di final.

"Kami akan berehat untuk mengharungi perlawanan akhir selain turut berbincang mengenai taktikal supaya tampil lebih meyakinkan," katanya.

Sementara itu, Pearly berkata, mereka juga perlu perbaiki komunikasi ketika berada di atas gelanggang bagi mengelak melakukan kesilapan mudah.

"Kita perlu perbaiki komunikasi dan percaya antara satu sama lain. Jurulatih juga banyak beri motivasi untuk kemenangan perlawanan separuh akhir ini," katanya.

Sebagai rekod, ini adalah pentas final kedua buat Pearly-Thinaah musim ini selepas muncul naib juara Masters Malaysia, Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 7:08 PM