ZII Jia kandas di pusingan ketiga. FOTO AFP
ZII Jia kandas di pusingan ketiga. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia masih lagi menaruh harapan tinggi bahawa masanya akan tiba untuk dia bergelar juara di kejohanan antarabangsa kelak.

Walaupun, perjalanannya di Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark tersekat pada pusingan ketiga kepada wakil tuan rumah Anders Antonsen awal pagi tadi, namun dia tetap optimis mampu mencipta kejayaan pada penampilan akan datang.

Zii Jia berkata, dia tidak akan berputus asa dalam usaha untuk kembali bergelar juara kerana sudah membuktikan betapa dia masih memiliki sentuhan menundukkan pemain dalam kelompok lima terbaik dunia.

"Saya fikir ada petanda positif pada aksi saya di kejohanan kali ini, saya membuktikan yang saya masih mampu untuk menewaskan pemain dalam kelompok lima terbaik dunia.

"Saya hanya memerlukan masa untuk kembali ke sana (kemuncak prestasi). Saya hanya perlu bersabar," kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada pertemuan awal pagi tadi yang berlangsung di Royal Arena itu menyaksikan Zii Jia terpaksa akur tewas 18-21, 17-21 kepada Antonsen.

Mengikut rekod, kali terakhir pemain berusia 25 tahun itu merangkul gelaran juara adalah di Terbuka Thailand pada Mei tahun lalu.

Musim ini, dia bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas tersingkir di pusingan awal dalam sembilan daripada 13 kejohanan individu disertainya setakat ini dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir Seluruh England, Terbuka Switzerland dan Terbuka Australia.

Sementara itu, mengulas mengenai kekalahan di tangan Antonsen, Zii Jia mengakui dia tewas kepada lawan yang beraksi lebih baik.

"Kami sudah beberapa kali menentang antara satu sama lain, kami tahu permainan masing-masing.

"Anders mengawal permainan hari ini (awal pagi tadi) dan dia bermain dengan baik. Dia juga mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri dan mendapat sokongan padu penyokong.

"Dia bermain dengan menakjubkan, saya tewas kepada pemain yang lebih baik," katanya.

Zii Jia selepas ini akan mengalihkan fokusnya bagi beraksi di Terbuka China dari 5 hingga 10 September dan Terbuka Hong Kong bermula 12 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 12:05 PM