LEE Zii Jia kini menduduki ranking ketiga dunia. FOTO BADMINTON PHOTO
LEE Zii Jia kini menduduki ranking ketiga dunia. FOTO BADMINTON PHOTO
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kini menduduki ranking ketiga dunia apabila naik satu anak tangga selepas mengumpul 91,578 mata berdasarkan kemaskini terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Zii Jia mengambil alih tempat pemain Denmark, Anders Antonsen yang kini merampas kedudukan nombor dua dunia dari pemain Jepun, Kento Momota.

Juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark kekal di ranking teratas dunia dengan 122,606 mata.

Antonsen berada di kedudukan kedua dengan 92,700 mata manakala Momota terpaksa akur dengan penurunan tiga anak tangga menjadikan dia kini berada di tempat kelima dunia dengan 86,704 mata.

Pemain Taiwan, Chou Tien Chen turut naik satu anak tangga di kedudukan nombor empat dunia selepas mengumpul 89,576 mata.

Zii Jia yang juga juara Asia semakin menghampiri misinya untuk muncul dua pemain ranking teratas dunia menjelang hujung tahun ini.

Dia yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya berpeluang untuk merealiasasikan misinya itu sekiranya beraksi cemerlang di Terbuka Denmark yang bermula 18 hingga 23 Oktober sebelum beraksi di Terbuka Perancis 25 hingga 30 Oktober.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong turut melonjak satu anak tangga apabila kini berada di kedudukan ranking ke-35 dunia dengan 42,384 mata.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu sebelum ini meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 30 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini bagi membolehkannya layak secara automatik beraksi dalam undian utama kejohanan besar, bermula Januari tahun depan.

Bagi acara beregu lelaki, pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul juara dunia di Tokyo, bulan lalu kekal di ranking nombor lima dunia apabila mengumpul 90,328 mata.

Dua lagi pasangan negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Izuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut berada dalam kelompok 10 terbaik dunia selepas kekal di kedudukan nombor sembilan dan ke-10 dunia.

Ee Yi-Yew Sin mengumpul 72,490 mata manakala Izzuddin-Sze Fei dengan 69,735 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 4:11 PM