PEMAIN badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia. FOTO ARKIB NSTP
PEMAIN badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia memilih untuk berlatih bersama juara dunia, Viktor Axelsen sebelum menghadapi Terbuka Denmark di Odense bermula 18 hingga 23 Oktober ini.

Jelas pemain berusia 24 tahun itu, dia akan berlepas awal ke Denmark dan selain Axelsen, rakan senegara pemain nombor satu dunia itu, Anders Antonsen dijangka menyertai sesi latihan berkenaan.

"Saya akan ke Denmark pada 9 Oktober untuk berlatih di sana. Saya sudah menghubungi Axelsen dan Antonsen untuk berlatih bersama mereka.

""Axelsen adalah pemain terbaik masa ini dan mengekalkan prestasinya dengan baik. Dia memang seorang pemain yang saya kagumi sejak dahulu," katanya.

Zii Jia yang tampil di Odense selaku juara Asia tidak meletakkan sebarang sasaran pada Terbuka Denmark, sebaliknya berharap dapat mempamerkan aksi paling terbaik.

Pemain nombor empat dunia itu yang tersingkir di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia dekat Tokyo, Jepun, bulan lalu, berkata dia akan menyertai beberapa kejohanan lagi selepas ini dalam usahanya mengutip mata untuk saingan Jelajah Dunia Akhir BWF.

Antara kejohanan akan disertainya adalah Terbuka Perancis bermula 25 hingga 30 Oktober dan kemungkinan besar turut menyertai Terbuka Hylo di Jerman (1 hingga 6 November) serta Terbuka Australia (15 hingga 20 November).

"Saya mungkin pergi Terbuka Hylo dan Australia kerana mahu kejar (kutip mata) bagi saingan Jelajah Dunia Akhir BWF selepas ada kejohanan yang tidak saya sertai sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 4:04 PM