LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu menutup kalendar kejohanan tahun ini dengan mencipta keputusan positif pada Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol yang bermula 12 hingga 19 Disember ini.

Zii Jia yang dilihat agak bergelut dalam beberapa kejohanan disertainya baru-baru ini enggan mengulangi kesilapan sama dan tekad mahu tampil lebih menyakinkan pada kejohanan itu.

Pemain yang berada di ranking kelapan dunia itu berkata, walaupun tewas di separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF, namun pencapaian itu tetap baik jika dibandingkan pada penampilan pertamanya Januari lalu yang menyaksikannya tewas semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

"Saya ada tempoh lebih kurang seminggu lebih sebelum Kejohanan Dunia bermula. Saya akan manfaatkan tempoh masa yang ada untuk rehat dan buat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia," katanya.

Sebelum ini, pemain terbabit terlepas peluang terbaik bagi mara ke final keduanya tahun ini selepas menjuarai Seluruh England, Mac lalu apabila tewas di tangan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn di separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF, Sabtu lalu.

Sebelum itu, pemain berusia 23 tahun berkenaan yang diletakkan sebagai pilihan kedua berjaya menewaskan lawan sama ketika saingan peringkat kumpulan.

Di Huelva, Zii Jia boleh menarik nafas lega apabila berjaya mengelak daripada bertemu pemain utama dunia di pusingan awal.

Dia akan membuka tirai kempen menentang pemain Kanada, Jason Anthony Ho-Shue dan ujian sebenar buat Zii Jia dijangka hadir di pusingan ketiga apabila dia diramal bertemu sama ada Kanta Tsuneyama dari Jepun atau pemain berpengalaman Denmark, Hans Kristian Solberg Vittinghus.

Jika mara ke suku akhir, Zii Jia dijangka membuat perhitungan dengan pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen manakala juara Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen menantinya andai layak ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:09 PM