TANG Jie dan Ee Wei pamer peningkatan prestasi memberangsangkan.
TANG Jie dan Ee Wei pamer peningkatan prestasi memberangsangkan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Semangat juang tinggi menjadi kunci kebangkitan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Ee Wei berkata, mereka menetapkan minda perlu menjadi lebih baik dan pergi lebih jauh daripada pemain lain setiap kali melangkah ke gelanggang.

"Paling penting tidak mengaku kalah dan berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan disertai," katanya kepada pemberita selepas beregu itu dilantik sebagai duta jenama baharu minuman isotonik 100Plus, di sini, hari ini.

Meskipun baru membentuk gandingan November lepas, Tang Jie-Ee Wei menunjukkan pencapaian membanggakan dengan kini berada di tangga ke-14 dunia selepas memulakan musim di tangga ke-147, selain merangkul dua gelaran Jelajah Dunia tahun ini.

Beregu negara itu meraih gelaran Jelajah Dunia sulung mereka pada Masters Orleans 2023 di Perancis dengan menewaskan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan 21-19, 21-17, April lepas.

Momentum kecemerlangan itu diteruskan dengan kemenangan gelaran kedua mereka apabila menundukkan satu lagi gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min 21-12, 21-8, bulan lepas di Terbuka Taiwan.

Kini, setelah merangkul dua gelaran tahun ini, Tang Jie bertekad tidak dibuai dengan pencapaian itu dan akan bekerja keras dalam usaha memenangi lebih banyak kejohanan termasuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Sementara itu, pemain kelahiran Perak itu berkata mereka akan mencuba yang terbaik untuk mengatasi rakan sepasukan dan beregu lebih berpengalaman Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dalam pusingan pertama Terbuka Korea 2023, yang akan bermula minggu depan (18-23 Julai).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 6:19 PM