TANG Jie (kanan) dan Ee Wei bersama trofi selepas muncul juara Orleans Masters, Ahad lalu, FOTO FB FAM
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei bersama trofi selepas muncul juara Orleans Masters, Ahad lalu, FOTO FB FAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie enggan menjadikan kemenangan dilakar bersama pasangannya, Toh Ee Wei di Orleans Masters di Orleans, Perancis, baru-baru ini membuatkan mereka lupa diri.

Biarpun muncul wakil Malaysia pertama memenangi Kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu, Tang Jie berkata, masih banyak cabaran perlu diharungi untuk melangkah lebih jauh, sekali gus menembusi ranking 10 teratas dunia.

"Ini satu motivasi buat kami, namun selepas muncul juara (Orleans Masters), kami perlu anggap seolah-olah kami bermula semula daripada sifar.

"Kami perlu kekal merendah diri dan cuba buat yang terbaik pada setiap kejohanan selepas ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini.

Pasangan baru digandingkan pada November tahun lalu itu kini menghuni ranking ke-22 dunia, sebelum ini meraih gelaran juara pada Cabaran Antarabangsa Bangladesh dan Cabaran Antarabangsa Iran, kedua-duanya pada tahun lalu.

Menurut Tang Jie, kejayaan dilakar bersama Ee Wei menjadi pembakar semangat buat mereka apabila membawa cabaran negara pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), hujung bulan ini.

Mengulas mengenai pencapaian itu bakal membuka mata pemain dari negara lain pada kejohanan akan datang, beliau berkata ia sesuatu yang baik buat perjalanan kerjaya mereka.

"Bila kamu dapat keputusan baik, pemain lain akan kaji corak permainan kamu. Saya rasa ia bagus sebab jika mereka tidak mengetahui kejayaan kami sudah tentu mereka tidak kenal kami," katanya.

Pada aksi final Orleans Masters, Ahad lepas, Tang Jie-Ee Wei menoktahkan kemenangan 21-19, 21-17 ke atas pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dalam tempoh 35 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 9:55 PM