HANNAH (dua dari kiri) bersama Stuart (kiri) dan Zii Jia (dua dari kanan) pada pertemuan Sabtu lalu. FOTIO FB HANNAH YEOH
HANNAH (dua dari kiri) bersama Stuart (kiri) dan Zii Jia (dua dari kanan) pada pertemuan Sabtu lalu. FOTIO FB HANNAH YEOH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersedia untuk membawa dan meneliti segala permintaan pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia ke peringkat pengurusan projek Road to Gold (RTG).

Menurutnya, antara permintaan akan diberi perhatian adalah sokongan dari segi infrastruktur, kejurulatihan dan rakan sepelatih selepas mereka mengadakan pertemuan Sabtu lalu.

"Kena bawa balik ke RTG (permintaan Zii Jia). Setakat ini permintaannya seperti apa yang saya tulis di Facebook. Sokongan dari segi infrastruktur, kejurulatihan dan rakan sepelatih," katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Warga Sukan dan Rakaman Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Atlet di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Ujar Hannah, sekarang ini mereka harus meneliti segala permintaan yang dibuat Zii Jia terutama dari segi kejurulatihan dan infrastruktur.

Sabtu lalu, Hannah mengadakan pertemuan dengan Zii Jia dan menyifatkan ia sebagai satu perbincangan positif terutama untuk program RTG.

Pertemuan itu diadakan bersama penyelaras RTG, Stuart Ramalingam dan pemain di ranking keempat dunia itu turut menyokong inisiatif program berkenaan dan bersyukur disenaraikan.

Paling mencuri perhatian ialah pengakuan Hannah bahawa Zii Jia memberitahunya sangat mengimpikan pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 untuk negara.

Sementara itu, Hannah menasihatkan semua atlet supaya menjaga pemakanan apabila menyambut Aidilfitri bersama keluarga minggu depan.

"Ini bukan untuk atlet sahaja, tetapi semua, selepas sebulan berpuasa mengambil makanan dengan penuh bersederhana, jangan pula di Hari Raya nanti jumlah kilogram (berat badan) yang hilang itu patah balik kepada mereka dengan cepat.

"Saya ingin menasihatkan kepada semua atlet yang pulang ke kampung sentiasa berhati-hati di jalan raya. Fokus kepada pemanduan dan jangan asyik melihat telefon bimbit sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 5:09 PM