NORZA (empat dari kiri) bersalaman dengan Wan Razly pada majlis pengumuman penajaan, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
NORZA (empat dari kiri) bersalaman dengan Wan Razly pada majlis pengumuman penajaan, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengorak langkah setapak lagi apabila memperoleh tajaan terbaharu daripada Kumpulan Affin yang dilantik selaku rakan bank rasmi badan induk itu.

Menerusi kerjasama selama dua tahun yang tidak didedahkan jumlah sebenar tajaan itu, Affin akan menyokong pelbagai inisiatif BAM termasuk menjadi rakan penaja utama program pembangunan remaja yang akan dikenali sebagai Jelajah Elit Affin 100 Plus Junior.

Ia termasuk kejohanan di Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sebagai sebahagian daripada penaja, logo Affin akan dipaparkan pada seluar pendek pasukan kebangsaan dan jersi latihan.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Affin, sekali gus menyeru pelbagai lagi sektor korporat untuk meneruskan kerjasama dengan badan induk itu.

"Kami sudah lama membincangkan kerjasama ini, tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana wabak (Covid-19). Baru-baru ini ia dimuktamadkan dan hari ini saya berbesar hati untuk mengumumkan kerjasama dengan Affin.

"Saya ingin menegaskan sokongan daripada syarikat korporat seperti Affin, adalah penting untuk program pembangunan dan pertandingan belia.

"Fokus BAM untuk dua tahun seterusnya adalah Olimpik Paris 2024. Oleh itu kami memerlukan semua bantuan sebaik mungkin bagi membantu kami mencapai impian memenangi pingat emas Olimpik pertama negara. Saya sangat gembira untuk mempunyai sebuah lagi syarikat gergasi menyertai BAM," kata Norza pada sidang media selepas majlis pengumuman penajaan itu, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Wan Abdullah dan pemain badminton negara.

BAM sebelum ini berjaya menarik tajaan besar daripada Yonex serta Petronas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 7:51 PM