AKSI Pang Ron dan Ee Wei ketika menentang pasangan Taiwan. FOTO BAM
AKSI Pang Ron dan Ee Wei ketika menentang pasangan Taiwan. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei terus mempamer peningkatan apabila menyingkirkan pilihan ketiga yang juga wakil tuan rumah, Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching pada pusingan kedua Terbuka Taiwan hari ini.

Dengan kemenangan 21-23, 23-21, 21-14, Pang Ron-Ee Wei yang ketika ini menduduki ranking ke-94 dunia, mengesahkan tiket ke suku akhir.

Meskipun tewas di set pertama, gandingan negara itu bangkit pada dua set berikutnya dalam perlawanan berlangsung selama 52 minit itu.

"Kami sangat gembira dapat menewaskan pasangan Taiwan itu memandangkan mereka berada di kedudukan ranking dunia yang lebih tinggi (ke-26) dan lebih berpengalaman berbanding kami.

"Namun, kami tidak boleh terlalu gembira kerana kami perlu kembali fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya," kata Ee Wei.

Menanti gandingan negara di suku akhir adalah pasangan India, Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto yang menewaskan satu lagi gandingan tuan rumah, Cheng Kai Wen-Wang Yu Qiao 21-14, 21-17.

"Kami tidak pernah bertemu mereka sebelum ini. Jadi, kami bincang dengan jurulatih untuk menghadapi mereka dan akan berjuang habis-habisan," kata Ee Wei.

Sementara itu, perjuangan pemain perseorangan wanita negara, Eoon Xi Quan berakhir selepas tewas di tangan pemain Amerika Syarikat, Lauren Lam 21-18, 15-21, 15-21.

Turut kecundang pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang tewas 10-21, 15-21 kepada pilihan kedua, Wang Tzu Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 3:29 PM