REXY mengakui peluang Malaysia melangkah ke suku akhir itu tinggi tetapi semua ini harus dibuktikan di dalam gelanggang. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
REXY mengakui peluang Malaysia melangkah ke suku akhir itu tinggi tetapi semua ini harus dibuktikan di dalam gelanggang. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan (Beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menyalakan semangat apabila mengakui bukan sesuatu yang mustahil untuk skuad negara menjulang Piala Thomas.

Bagaimanapun jelas bekas jaguh dari Indonesia itu, perkara utama yang perlu ditunjukkan oleh skuad negara adalah bekerja keras serta mempamer semangat berpasukan yang tinggi.

Pada saingan yang berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei depan, skuad negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan New Zealand.

"Peluang untuk kita melangkah ke suku akhir itu tinggi tetapi semua ini harus kita buktikan di dalam gelanggang.

"Kita juga tidak boleh memandang rendah kemampuan England kerana mereka mempunyai beregu yang bagus cuma mungkin dalam acara perseorangan mereka kurang.

"Secara keseluruhannya kalau bercakap mengenai peluang muncul juara, peluang tetap ada kerana saya percaya tiada apa yang mustahil.

"Namun, itu semua hanya boleh dicapai dengan kerja keras dan semangat berpasukan yang tinggi," kata Rexy.

Kali terakhir Malaysia menjulang piala berprestij itu adalah 30 tahun lalu atau lebih tepat edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Jaguh profesional perseorangan negara, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Aidil Sholeh Ali Sadikin dijangka menggalas tugas bagi acara perserongan.

Manakala pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hampir pastinya akan membarisi acara beregu bersama-sama Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Barisan pemain negara hadir di Bangkok dengan motivasi tinggi selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 11:25 PM