LEE Zii Jia kuatkan pasukan hadapi cabaran di BATC. FOTO NSTP
LEE Zii Jia kuatkan pasukan hadapi cabaran di BATC. FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kehadiran jaguh profesional negara, Lee Zii Jia memperkuatkan pasukan negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) nyata memberi suntikan semangat serta impak besar kepada barisan pemain lain.

Pemain beregu utama negara, Aaron Chia berkata, kehadiran pemain utama seperti Zii Jia cukup penting dan ia akan memberi kelebihan kepada satu-satu pasukan.

"Saya rasa jika beraksi dalam acara berpasukan, apabila ada pemain beregu atau perseorangan utama, ia akan memberi kelebihan kepada pasukan itu.

"Bila ada acara berpasukan seperti Piala Thomas, Uber atau Piala Sudirman barulah kita semua menjalani latihan bersama. Jadi saya rasa untuk acara berpasukan, memang penting bila ada barisan pemain utama," katanya.

Aaron memberi contoh bagaimana satu ketika dahulu bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei kerap mengetuai skuad negara dalam acara berpasukan terutamanya di Piala Thomas.

"Saya masih ingat Datuk ketua pasukan di Piala Thomas dekat Bangkok. Apabila ada pemain senior sepertinya, ia memberi lebih keyakinan kepada pemain remaja," katanya.

Pada saingan yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City dekat Shah Alam bermula Selasa ini, Malaysia menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki diketuai Zii Jia, Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Hao, Lim Chong King and Kok Jing Hong.

Dalam acara beregu, Malaysia akan diperkuatkan dengan kehadiran Aaron-Wooi Yik yang menjadi taruhan utama pasukan negara selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Jepun, Singapura dan Kazakhstan dengan dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir sekali gus layak ke Piala Thomas secara automatik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 3:05 PM