TAHUN lalu Malaysia tersingkir di pusingan awal selepas tewas semua perlawanan peringkat kumpulan di tangan China, Denmark dan Kanada. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
TAHUN lalu Malaysia tersingkir di pusingan awal selepas tewas semua perlawanan peringkat kumpulan di tangan China, Denmark dan Kanada. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jika melihat kepada undian skuad badminton wanita negara di Piala Uber dekat Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei depan, mereka mungkin akan mengucapkan selamat tinggal lebih awal.

Ini kerana skuad negara diundi bersama-sama jaguh Eropah, Denmark, Thailand dan juga Mesir dengan hanya dua tempat teratas akan mara ke kelompok lapan terbaik.

Melihat situasi itu, peluang skuad negara untuk muncul dua pasukan terbaik agak sukar kerana Thailand dan Denmark dilabel pasukan pilihan.

Pengarah Kejurulatihan (beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky bagaimanapun tidak mahu barisan pemain negara menyerah awal apatah lagi berasa gementar dengan reputasi pihak lawan.

Katanya, walaupun berdepan laluan berliku bagi memburu tiket ke suku akhir, namun itu bukan alasan pemain tidak menunjukkan semangat juang tinggi apabila menghadapi lawan yang lebih kuat.

"Saya tidak mahu mereka melihat diri mereka lemah atau tidak mempunyai peluang. Mereka perlu mempunyai semangat dan kerjasama sepasukan yang tinggi," kata Rexy.

Tahun lalu di Aarhus, Denmark, Malaysia tersingkir di pusingan awal selepas tewas semua perlawanan peringkat kumpulan di tangan China, Denmark dan Kanada.

Pencapaian terbaik skuad wanita negara dalam saingan Piala Uber sebelum ini adalah mara sehingga suku akhir pada edisi 2004 dan 2008 di Jakarta, Indonesia selain 2010 di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 10:46 PM