SKUAD lelaki muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022. FOTO Bernama
SKUAD lelaki muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan badminton lelaki kebangsaan atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, semalam.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang itu kerana pasukan badminton negara mencipta sejarah selepas muncul juara kejohanan itu buat pertama kalinya dengan menewaskan juara bertahan, Indonesia 3-0.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada pasukan badminton kebangsaan untuk terus berlatih lebih keras dan melakar kejayaan di kejohanan-kejohanan mendatang serta mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Kejohanan dwitahunan ini juga merupakan pentas kelayakan bagi saingan Piala Thomas dan Uber, di mana empat pasukan terbaik akan layak ke acara berpasukan itu pada Mei depan," kata Istana Negara dalam satu kenyataan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City semalam jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia memungut mata pertama negara selepas menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, 21-10 dalam tempoh 50 minit.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula meraih mata kedua untuk skuad negara selepas menewaskan gandingan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 17-21, 21-13, 21-18.

Perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong yang turun selaku perseorangan kedua negara muncul wira negara apabila meraih mata kemenangan.

Tze Yong nyata tidak berdepan masalah menewaskan Ikhsan Rumbay 21-14, 21-15.

Selepas ini skuad negara akan memberi fokus kepada saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 8:38 PM