Aksi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia. FOTO NSTP
Aksi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun mencatat rekod 100 peratus kemenangan dan membantu Malaysia muncul juara buat kali pertama di Kejohanan Berpasukan Asia (BATC), kemampuan perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia belum teruji sepenuhnya.

Menurut bekas perseorangan lelaki negara, Ismail Saman, kemampuan sebenar Zii Jia hanya boleh dilihat apabila pemain berkenaan berkunjung ke Eropah untuk menyertai Terbuka Jerman dan mempertahankan kejuaraan Seluruh England bulan depan.

"Pada pendapat saya Zii Jia berdepan dengan banyak situasi, sedangkan bila berada dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pun ada tekanannya tersendiri apatah lagi menjadi pemain profesional. Paling penting dia sendiri boleh mengawal tekanan berkenaan dengan baik," katanya.

Ujar Ismail, Zii Jia mempamerkan aksi baik di BATC apabila berjaya bertahan ketika berdepan pemain remaja yang sedang meningkat naik.

"Prestasinya belum diuji sepenuhnya, kerana BATC banyak pemain junior. Kita hanya boleh menilai kemampuan sebenarnya apabila berdepan pemain terbaik dari Indonesia dan juga negara lain. Dari situ kita tahu bagaimana dia mengawal tekanan untuk berdepan ujian sebenar.

"Apa pun saya memberikan pujian kepadanya kerana mengeluarkan permainan sebenar di BATC. Dia bermain dengan bagus berbanding ketika di Terbuka Thailand dan Piala Thomas tahun lalu, banyak bezanya. Memang ada sedikit ujian di BATC tapi tidak berat buatnya.

"Tekanan sebenar belum teruji sepenuhnya kerana tidak berdepan pemain handalan dunia. Kita boleh tengok nanti bagaimana dia lakukan untuk mempertahankan kejuaraan Seluruh England. Bagi saya sebagai bekas pemain, bukan senang untuk mempertahankan kejuaraan kerana terdapat tekanan di situ.

"Jadi Zii Jia harus pamerkan persembahan terbaik untuk buktikan kepada rakyat, BAM, penaja dan diri sendiri boleh memberi aksi terbaik walaupun tidak bersama lagi badan induk," kata Ismail.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersyukur dengan kejayaan diraih skuad lelaki negara di BATC Ahad lalu.

"Saya harap momentum kemenangan ini diteruskan. Saya melihat kita terutama sekali dalam sukan badminton harus mempunyai ketahanan mental itu sangat penting. Jadi dalam perkara-perkara yang membabitkan isu luar daripada sukan itu, kita tidak perlu disensasikan supaya ketahanan mental kita sentiasa berada di tahap terbaik bagi mengatasi mana-mana pemain handalan dunia.

"Alhamdulillah, rakan media, rakyat dan persatuan, sudah bekerjasama dengan baik dan saya lihat kita ada satu pasukan yang boleh kita angkat dan teruskan kejayaan dalam semua kejohanan akan datang. Insya Allah kita akan tetap menjadi antara yang terbaik di dunia," katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KBS di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 6:41 PM