AKSI Zii Jia ketika menentang  Lakshya Sen. FOTO AFP
AKSI Zii Jia ketika menentang Lakshya Sen. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Legenda perseorangan lelaki badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui Lee Zii Jia perlu diberi peluang dan ruang membuktikan kemampuan dirinya terutama selepas membuat keputusan menjadi pemain profesional, Januari lalu.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk membuat penilaian sama ada pemain nombor tujuh dunia itu mampu bertahan sebagai pemain profesional hanya berdasarkan kegagalannya mempertahankan kejuaraan Seluruh England, minggu lalu.

"Perjalanan dia masih jauh, biarpun kalah kali ini namun dia boleh belajar daripada kesilapan. Orang cakap dia juara bertahan tetapi sebenarnya ramai pemain yang jadi juara bertahan pun kalah juga," kata Chong Wei.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, bukan mudah untuk mempertahankan kejuaraan dan apa yang paling penting adalah Zii Jia tidak boleh berputus asa.

"Ada banyak lagi kejohanan besar tahun ini termasuk Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Ini permulaan kejohanan individu untuk dia tahun ini (Seluruh England). Saya percaya dia tahu apa yang dimahukan dirinya kerana dia pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

"Saya tidak tahu apa perancangan dia sama ada mahu menjalani latihan di Dubai (kem latihan bersama pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen) atau apa tetapi dengan pasukan sokongan yang dia ada sekarang, saya lihat ia boleh membantu dirinya," kata Chong Wei.

Sabtu lalu, Zii Jia gagal dalam misi mempertahankan kejuaraan Seluruh England yang dimenangi tahun lalu apabila tewas di tangan pemain India, Lakshysa Sen 13-21, 21-12, 19-21 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Birmingham.

Zii Jia yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya berpeluang menebus kekecewaan itu apabila dia beraksi dalam saingan Terbuka Korea bermula 5 hingga 10 April ini sebelum dijangka mengetuai cabaran skuad negara beraksi di Piala Thomas di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 4:29 PM