AKSI Zii Jia ketika bertemu pemain China, Lu Guang Zu pada pusingan pertama Terbuka Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI Zii Jia ketika bertemu pemain China, Lu Guang Zu pada pusingan pertama Terbuka Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun bermula dengan langkah kiri untuk musim 2024 selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, khidmat pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia masih lagi diperlukan skuad kebangsaan dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Selangor bulan depan.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, semua perlu menerima hakikat bahawa Zii Jia masih pemain perseorangan lelaki terbaik negara walaupun bergelut dengan prestasi tidak menentu.

"Sebagai tuan rumah, sudah tentu kita mahu menampilkan pasukan terbaik dan untuk itu kita perlu memilih pemain yang terbaik," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di ABM hari ini.

Ujar Rexy, Zii Jia juga mempunyai rekod yang baik dalam kejohanan berpasukan dan ia akan memberi motivasi kepada barisan pemain lain dalam pasukan.

Semalam, Zii Jia mengesahkan dia akan beraksi bagi membawa cabaran negara pada saingan BATC yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC) di Shah Alam dari 13 hingga 18 Februari ini selepas menerima jemputan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, Zii Jia menyifatkan peluang kedua diberikan BAM untuk mewakili negara di laman sendiri adalah sesuatu yang tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.

Pada saingan BATC edisi 2022 , Zii Jia antara watak penting yang membantu pasukan mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia 3-0 pada aksi final.

Ditanya mengenai pemain perseorangan lelaki yang lain, legenda badminton Indonesia itu turut mengesahkan empat lagi pemain perseorangan lelaki yang akan disenaraikan adalah Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe.

Bagi acara beregu, Rexy memaklumkan perbincangan semula akan diadakan bersama barisan kejurulatihan termasuklah sama ada akan menyenaraikan pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau sebaliknya.

Katanya, BAM pada awal turut menjemput pasangan profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bagi membarisi skuad kebangsaan tetapi kedua-dua pemain itu tidak dapat memberikan komitmen mereka.

"Saya sudah menghubungi jurulatih Rosman (Razak) dan saya memahami situasi yang dialami mereka. Rosman memaklumkan yang kecederaan (lutut) Ee Yi masih belum pulih sepenuhnya dan perancangan awal mereka tahun ini adalah menyertai empat kejohanan.

"Jika mereka bermain di BATC, bermakna tiada rehat untuk mereka dan ini dibimbangi akan mengundang risiko kepada kecederaan yang pernah dialami Ee Yi apatah lagi mereka juga dalam situasi yang masih belum selamat untuk kelayakan ke Sukan Olimpik," katanya.

Tambah Rexy, beliau memahami situasi berkenaan dan akan mengadakan perbincangan semula dengan barisan jurulatih mengenai siapa yang akan disenaraikan selepas tamat Terbuka Malaysia nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 6:18 PM