SKUAD lelaki negara ketika muncul juara BATC dua tahun lalu. FOTO ASWADI ALIAS
SKUAD lelaki negara ketika muncul juara BATC dua tahun lalu. FOTO ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran dan Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: "Persaingan kali ini tidak sama dengan dua tahun lepas."

Demikian pengakuan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengenai misi skuad lelaki negara untuk mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 dari 13 hingga 18 Februari ini.

Tegas legenda Indonesia itu, beliau menjangkakan pasukan lain seperti gergasi Asia, China, Jepun, Korea Selatan dan India akan menyenaraikan barisan terkuat pada kejohanan itu yang turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Ketika ini semua pasukan dalam pecutan terakhir dan mereka akan menghantar pemain terbaik untuk mengukuhkan kedudukan mereka (untuk layak ke Olimpik).

"Saya percaya semua jurulatih sudah belajar setiap kekuatan pasukan lawan dan kini terserah kepada jurulatih masing-masing untuk mempersiapkan pemain mereka untuk bersaing di BATC 2024 ini.

"Kita hadir dengan pasukan yang kuat terutama kehadiran (Lee) Zii Jia yang sudah dapat momentum terbaik ketika ini. Kita harap Ng Tze Yong juga dapat memberikan terbaik," katanya pada sidang media pengumuman senarai pemain BATC, hari ini.

Menerusi pengumuman itu, skuad lelaki akan dibarisi empat pemain perseorangan diketuai oleh pemain profesional, Zii Jia, Tze Yong, Justin Hoh dan Eugen Owe.

Sementara itu, beregu negara pula akan dibarisi oleh gandingan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani serta Choong Hon Jian-Haikal Nazri.

Skuad lelaki negara muncul juara kali pertama pada edisi dua tahun lalu selepas menewaskan Indonesia 3-0 di pentas final di venue sama iaitu Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).

Skuad wanita pula menyaksikan Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching membarisi pemain perseorangan, manakala beregu dibarisi oleh Pearly Tan-M Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Teoh Mei Xing-Tan Zhing Yi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 3:17 PM