SKUAD negara gagal pertahan kejuaraan selepas tewas di tangan China. FOTO Saifullizan Tamadi
SKUAD negara gagal pertahan kejuaraan selepas tewas di tangan China. FOTO Saifullizan Tamadi
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tetap berbangga dengan prestasi pasukan lelaki di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas berjaya layak ke final kali ketiga berturut-turut biarpun tidak dapat mempertahankan kejuaraan dimenangi pada 2022.

Norza berkata, meskipun kem pasukan badminton lelaki dilanda isu kecederaan terutama di final, mereka tetap memberi semangat juang terbaik ketika menentang China.

Malah, beliau turut memuji prestasi Leong Jun Hao dan percaya dia boleh menjadi pemain penting buat negara dalam kejohanan akan datang.

"Walaupun gagal mempertahankan (kejuaraan), kita ingin mengucapkan tahniah kepada pemain yang telah memberikan segalanya untuk mencapai kejayaan ke peringkat final ini.

"Jun Hao merupakan satu revolusi kepada kita semua bahawa dia boleh menjadi. Sekiranya Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong bersama-sama pada Piala Thomas akan datang, Jun Hao akan jadi pemain perseorangan ketiga sangat kuat," katanya.

Pada masa sama, beliau yakin dengan barisan kejurulatihan yang diketuai Rexy Mainaky akan lebih bersedia dan tampil dengan skuad terbaik bagi mengharungi saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China bermula 28 April hingga 5 Mei depan.

"Saya rasa kita automatik layak ke Piala Thomas (selepas berada dalam kelompok empat terbaik di BATC) dan yakin kalau buat persediaan lebih baik, kita akan dapat menyaingi kuasa besar terutamanya dalam merampas semula Piala Thomas (kali terakhir juara pada 1992).

"Jadi, saya rasa apa yang harus lakukan adalah kita sudah nampak laluan ke Piala Thomas dan saya berharap Rexy serta mereka yang lain dapat membina momentum tersebut ke Chengdu," kata Norza.

Terdahulu, Zii Jia dan Tze Yong tidak dapat diturunkan dalam aksi final BATC kerana mengalami kesukaran bernafas akibat resdung dan kecederaan belakang sekali gus menyaksikan Malaysia tewas 0-3 kepada China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 3:59 PM