GANDINGAN muda negara mempamer aksi cemerlang di Dublin. FOTO Badminton Photo
GANDINGAN muda negara mempamer aksi cemerlang di Dublin. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mendapat suntikan semangat baru apabila muncul juara Cabaran Antarabangsa Terbuka Ireland di Dublin semalam namun ia masih belum cukup untuk membuatkan mereka berpuas hati.

Wei Chong berkata, masih banyak yang perlu dilakukan biarpun sudah berjaya meraih gelaran ketiga tahun ini.

Mereka yang kini menghuni ranking ke-94 dunia menewaskan beregu England, Rory Easton-Zach Russ 21-7, 21-17 dalam aksi final.

Wei Chong, 22, mengakui kombinasinya bersama Kai Wun semakin serasi namun masih banyak perkara perlu dilakukan untuk memantapkan lagi corak permainan mereka.

"Kami perlu lakukan banyak lagi kerja rumah kerana kami mahu terus konsisten melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah perbaiki kelemahan dan terus bekerja keras dalam latihan dan mantapkan lagi corak permainan kami," katanya.

Mengulas mengenai aksi final semalam, Wei Chong berkata, dia bersama Kai Wun hanya mahu berikan yang terbaik dan mempamerkan corak permainan sendiri tanpa memikirkan gelaran juara.

Wei Chong-Kai Wun sebelum ini berjaya merekodkan dua gelaran juara selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Sepanyol 2021 dan Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 8:32 PM