TZE Yong (kiri) mendedahkan dia mempunyai hubungan istimewa dengan Talia, pemain ranking ke-162 dunia. FOTO Ihsan Instagram tzeyong_ng
TZE Yong (kiri) mendedahkan dia mempunyai hubungan istimewa dengan Talia, pemain ranking ke-162 dunia. FOTO Ihsan Instagram tzeyong_ng
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Ada cerita menarik di sebalik kejayaan bintang muda perseorangan negara Ng Tze Yong menjuarai kejohanan badminton Antarabangsa Belgium di Leuven, lewat malam tadi.

Tze Yong, 21, mendedahkan dia dikejutkan setiap awal pagi oleh kekasih hatinya Talia Ng, pemain wanita Kanada berusia 19 tahun yang membantu pasukan Piala Uber negara itu menewaskan Malaysia 4-1 di Aarhus, Denmark baru-baru ini.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih saya, keluarga dan penyokong kerana sokongan tidak berbelah bagi mereka selama ini. Saya juga berterima kasih kepada @talia.ngg kerana mengejutkan saya bangun awal pagi setiap hari sekali gus menceriakan hari saya," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

Enam hari lalu, pemain yang dianggap legenda negara Datuk Lee Chong Wei sebagai penggantinya suatu hari nanti, mendedahkan dia mempunyai hubungan istimewa dengan Talia, pemain ranking ke-162 dunia yang beraksi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Uber di Aarhus.

Ketika menentang Malaysia, Talia, yang diturunkan sebagai perseorangan pertama, menewaskan S Kisona 21-9, 21-14 namun dia tumpas di tangan Mia Blichfeldt dari Denmark pada perlawanan sebelumnya dan tidak beraksi ketika berdepan China.

"The best things in life are better with you," tulis Tze Yong ringkas dalam Instagram di samping memuat naik gambarnya berkepit dengan Talia manakala bintang muda Kanada itu turut memuat naik dua keping gambarnya bersama pemain berasal dari Johor itu pada hari sama dengan nota ringkas 'My mushroom' di samping tanda 'love' di hujungnya.

Tze Yong meraih kejuaraan ketiga kariernya dan kedua tahun ini selepas Terbuka Poland Mac lalu apabila pemain ranking ke-74 dunia itu menundukkan pemain veteran dari India, Ajay Jayaram 21-14, 21-14 pada aksi final di Sportoase, Leuven.

Dia menerima AS$1,200 (RM4,900) hasil kemenangan itu.

"Dalam tempoh dua minggu ini, saya bertanding dua kejohanan berturut-turut dan saya mampu menang emas di Antarabangsa Belgium dan perak di Terbuka Czech. Saya agak gembira dengan persembahan secara keseluruhan ketika ini tapi masih banyak yang perlu saya pelajari dan tingkatkan dari segi permainan," katanya yang bersemangat untuk terus memburu kejuaraan pada Terbuka Ireland di Dublin dari 17 hingga 20 November ini.

Menariknya, Tze Yong bukan pemain pertama negara meraih kejuaraan Antarabangsa Belgium yang dianjurkan kali pertama pada 1958.

Dia sebenarnya mengikut jejak langkah kejayaan Oon Chong Teik (1961), mendiang Datuk Punch Gunalan (1970) dan Tan Aik Huang (1971) dalam perseorangan lelaki.

Malaysia turut memenangi acara beregu lelaki menerusi gandingan Gunalan-Ng Boon Bee pada 1970 dan 1971, beregu campuran menerusi Boon Bee-Sylvia Ng (1970) dan paling terkini perseorangan wanita yang dimenangi Goh Jin Wei (2015) dan Soniia Cheah (2016).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 6:13 PM