PENGARAH Urusan Fleet International Holding, Teo Tong Wah (tengah) menyerahkan tajaan kepada ketua Jurulatih Badminton Wanita Mauritius, K Yogendran (empat dari kanan) turut bersama Rashid (dua dari kiri), Lee Wan Wah. -Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
PENGARAH Urusan Fleet International Holding, Teo Tong Wah (tengah) menyerahkan tajaan kepada ketua Jurulatih Badminton Wanita Mauritius, K Yogendran (empat dari kanan) turut bersama Rashid (dua dari kiri), Lee Wan Wah. -Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
Fabian Peter


“ANDA tidak perlu menjadi sempurna untuk menjadi legenda.”

Itu mesej disampaikan Rashid Sidek kepada barisan pemain badminton negara menjelang aksi Piala Thomas 2018 di Bangkok, bermula Ahad ini.

Rashid yang menjadi sebahagian daripada skuad pemenang Piala Thomas 1992, berkata pasukannya dulu tidaklah sempurna tetapi berjaya mencipta sejarah kerana mempunyai keinginan dan semangat yang membara.

Malangnya, sejak dari itu Malaysia terus kemarau gelaran berprestij itu selama 26 tahun.

“Adakah anda fikir kami mempunyai skuad yang sempurna pada 1992? Saya kini mengakuinya, kami sebenarnya tidak sempurna.

“Dan paling mengecewakan apabila kami kalah kepada Korea Selatan (3-2) dalam aksi sulung kumpulan. Sedikit sebanyak motivasi kami terjejas tetapi ia kembali membakar semangat kami untuk bangkit lebih kuat.

“Ia bukan mengenai semangat individu, tetapi lebih kepada usaha pasukan.

“Jangan kisah mengenai apa yang orang cakap. Tiada siapa yang menyangka kami untuk menang pada 1992, sama seperti kejayaan Jepun (2014) atau Denmark (2016) pada dua edisi lalu. Kita tidak perlu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri,” kata Rashid.

Bercakap selepas penajaan Fleet kepada pasukan Uber Mauritius di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini, bekas ketua jurulatih perseorangan BAM itu menyatakan amat penting untuk seluruh kontinjen negara mengambil aura positif kerana perasaan negatif hanya akan membawa kekalahan.

“Kunci utama kejayaan adalah kerjasama berpasukan. Bunyinya agak klise, tetapi itu asas dalam acara berpasukan, ia amat berbeza daripada kejohanan lain.

“Ia juga amat penting untuk memastikan tiada individu yang tersinggung ataupun mengamalkan sikap menuding jari. Anda menang sebagai pasukan dan kalah juga sebagai pasukan.

“Hanya satu nasihat saya ‘jangan sesekali mengaku kalah, sehingga mata terakhir kemenangan’. Perlawanan tidak tamat sehingga mata terakhir, jadi main dengan sepenuh hati dan berikan segala-galanya,” jelas Rashid yang menjulang Piala Thomas itu ketika berusia 23 tahun.

Pasukan kali ini yang diketuai Datuk Lee Chong Wei diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan Denmark, Russia serta Algeria dan diletakkan sasaran ke separuh akhir oleh BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 7:07 PM