LIEW Daren. -FOTO NSTP
LIEW Daren. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun sudah berusia, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann percaya pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren mampu memberi impak besar dalam skuad Piala Thomas negara di Bangkok dari 8 hingga 15 Mei ini.

Jelas Choong Hann, pengalaman luas yang ada pada Daren adalah sesuatu yang diperlukan oleh skuad Piala Thomas negara pada kali ini yang turut membariskan ramai pemain muda.

"Daren adalah seorang pemain perseorangan yang penting untuk kita dari segi taktikal.

"Dia juga mempunyai pengalaman luas dan sangat mendalam, jadi kami percaya Daren akan memberi nilai tambah kepada pasukan Piala Thomas kali ini.

"Malah dia juga boleh berkongsi pengalamannya bersama barisan pemain remaja mengenai taktikal dan sebagainya," katanya.

Pemain berusia 35 tahun itu bukan asing dalam acara berpasukan itu dan paling diingati adalah ketika membantu skuad negara menghampiri impian untuk menjulang piala berprestij itu pada 2014.

Bagaimanapun pada saingan yang berlangsung di New Delhi, India itu, skuad negara tewas kepada Jepun 2-3 dalam aksi final dengan Daren yang turun selaku perseorangan ketiga terlepas peluang menghadiahkan mata kemenangan kepada skuad negara apabila tewas kepada pemain Jepun, Takuma Ueda.

Selain Daren yang ketika ini menduduki ranking ke-35 dunia, turut terpilih dalam skuad Piala Thomas adalah perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Leong Jun Hao.

Di Bangkok, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan New Zealand.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 1:44 PM