AKSI Liek Hou ketika bertemu Imai Taiyo. FOTO Bernama
AKSI Liek Hou ketika bertemu Imai Taiyo. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet badminton para negara, Cheah Liek Hou melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan kemenangan mengatasi wakil tuan rumah, Imai Taiyo, 21-19, 21-12.

Liek Hou hanya memerlukan 41 minit untuk menewaskan Imai seterusnya muncul sebagai juara kumpulan B bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Menanti Liek Hou adalah pemain Taiwan, Fang Jen-yu, lawan yang ditewaskannya 21-13, 21-9 ketika aksi peringkat kumpulan semalam.

Dia yang kini menghuni ranking kedua dunia, menjadi taruhan terbaik merealisasikan impian negara untuk membawa pulang tiga pingat emas pada temasya paralimpik kali ini terutama selepas emas Muhammad Ziyad Zolkefli dibatalkan.

Di atas kertas Liek Hou dijangka tidak berdepan masalah mara ke peringkat akhir berdasarkan statusnya yang muncul sebagai juara dunia sebanyak enam kali itu.

Aksi konsisten Liek Hou yang dibimbing oleh Datuk Rashid Sidek itu terutama selepas menang di Kejohanan Antarabangsa Badminton para Fazza-Dubai di Emeriah Arab Bersatu pada April lalu diharapkan mampu menjadi bekalan untuk mengekalkan prestasinya.

Namun Rashid mahu anak didiknya itu terus kekal fokus dan tidak memandang mudah lawannya kerana perlawanan separuh akhir akan menjadi berbeza.

"Esok perlawanan yang berbeza. Biarpun dia pernah menang saya mahu dia tunjukkan aksi lebih baik dari sebelum ini jika mahu ke final.

"Jika diikutkan prestasinya kini dia kurang stabil kerana pertama kali beraksi di gelanggang satu, gelanggang utama untuk siaran langsung. Jadi dia perlu lebih bersedia dan lebih fokus nanti," katanya.

Satu lagi perlawanan separuh akhir esok membabitkan pertemuan antara pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi menentang rakan senegaranya, Suryo Nugroho.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 5:10 PM