AKSI Liek Hou di separuh akhir menentang pemain Taiwan, Jen Yu. FOTO Ihsan MSN
AKSI Liek Hou di separuh akhir menentang pemain Taiwan, Jen Yu. FOTO Ihsan MSN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou hanya selangkah untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia apabila mara ke pusingan akhir selepas melakar kemenangan terhadap wakil dari Taiwan Fang Jen Yu, sebentar tadi.

Saingan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi itu menyaksikan Liek Hou diheret perlawanan tiga set untuk menewaskan Jen Yu 15-21, 21-10, 21-16.

Set pertama menyaksikan Juara dunia enam kali itu menerima tentangan sengit daripada pemain Taiwan terbabit hingga menyaksikan dia terpaksa akur tewas pada lawannya itu.

Namun, Like Hou yang mendapat tunjuk ajar legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek tidak mudah mengalah apabila bangkit pada set kedua dan ketiga sekali gus menempah slot ke pusingan akhir petang ini.

Terdahulu, Liek Hou muncul juara Kumpulan B kategori SU5 saingan temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo selepas melakar kemenangan ketiga berturut-turut,

Dia menepati ramalan apabila mengatasi pemain Jepun, Taiyo Imai, 21-19, 21-12 dalam aksi terakhir kumpulan yang berlangsung semalam sekali gus layak ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Dalam dua perlawanan awal sebelum ini, Liek Hou turut menang ke atas Ahmed Eldakror dari Mesir 21-3, 21-2 dan pemain Taiwan, Jen Yu 21-13, 21-9.

Pada perlawanan petang ini, Liek Hou akan bertemu pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi, yang berjaya melakar kemenangan selepas menewaskan rakan senegaranya Suryo Nugroho 21-13, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 11:45 AM