Pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. FOTO File NSTP
Pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. FOTO File NSTP

Aida Adilah

PELANTIKAN Flandy Limpele yang akan mengetuai barisan beregu lelaki disambut baik oleh beregu nombor satu negara, Aaron Chia.

Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik itu tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Athens itu.

Katanya, dia memang mengenali Limpele sebelum ini yang mana sering kali bertemu di kejohanan utama bagaimanapun tidak pernah berlatih bersama beliau.

"Saya memang kenal dengan Flandy tapi tidak pernah berlatih di bawah bimbingannya. Kelibatnya juga sering kelihatan di kejohanan utama, Jadi saya tidak sabar untuk itu," katanya muncul naib juara Seluruh England tahun lalu.

Ditanya sama ada dia gembira dengan pelantikan Limpele, Aaron berkata, ia bukan isu gembira atau tidak kerana ia terpulang kepada diri anda sendiri bagaimana anda menerimanya.

Semalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan penyusunan semula struktur kejurulatihan dengan melantik Limpele mengemudi beregu lelaki negara.

Limpele sebelum ini berjaya membawa beregu lelaki India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy berada di kelompok 10 terbaik dunia tahun lalu.

Tugas Limpele akan dibantu oleh Rosman Razak dan Hoon Thien How.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berharap perubahan dalam sistem kejurulatihan badan induk itu dapat memacu pasukan negara untuk jangka masa panjang dalam mempersiapkan diri ke Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Oktober 2020 dan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Katanya, BAM akan terus mencari formula terbaik untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan yang majoritinya masih muda untuk digilap bakat dan akhirnya membanggakan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 7:10 PM