Kento Momota. FOTO File AFP
Kento Momota. FOTO File AFP
AFP

Tokyo: Pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota diuji positif Covid-19 hari ini, sekali gus mendorong semua pemain Jepun menarik diri daripada menyertai kejohanan Terbuka Thailand bulan ini menurut Persatuan Badminton Jepun.

"Momota diuji positif Covid-19 dan persatuan telah mengambil keputusan untuk tidak menghantar mana-mana pemain termasuk Momota ke Thailand," menurut pegawai persatuan itu.

Momota dijangka akan membuat kemunculan semula di pentas antarabangsa di Bangkok selepas berehat hampir setahun susulan kemalangan kenderaan yang menyebabkan kecederaan serius dialaminya.

Stesen penyiaran kebangsaan NHK berkata pemain berusia 26 tahun itu diuji positif di lapangan terbang Narita sebelum pasukan Jepun berlepas ke Thailand.

Salah seorang pegawai persatuan itu mengesahkan tiada daripada 22 pemain Jepun lain yang diuji positif, walaupun begitu keseluruhan pasukan tetap berhasrat menarik diri.

Momota memenangi kejohanan Seluruh Jepun minggu lalu dalam pertandingan pertamanya sejak terbabit kemalangan pada Januari lalu apabila kenderaan yang membawanya ke lapangan terbang selepas memenangi Malaysia Masters terbabas dan menyebabkan pemandunya terbunuh.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 9:48 PM