CHOONG Hann berkata kesemua jurulatih berkenaan sudah memberikan sumbangan besar. FOTO NSTP
CHOONG Hann berkata kesemua jurulatih berkenaan sudah memberikan sumbangan besar. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan tiga jurulatih kebangsaan bukanlah dilakukan secara melulu namun berdasarkan merit iaitu gagal mencipta keputusan cemerlang sebelum ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian menyeluruh dilakukan berdasarkan pencapaian sejak tahun lalu.

Katanya, dia sudah bertemu dengan semua jurulatih terbabit dan keputusan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan yang mana jurulatih berkenaan turut memiliki perancangan yang tersendiri.

"Tidak dinafikan, mereka semua sudah memberi sumbangan yang besar kepada badminton negara tetapi keputusan ini perlu dilakukan bagi kita melangkah ke hadapan.

"Penilaian sudah dilakukan dengan melihat semua aspek dan mereka dilihat tidak memberi impak seperti yang diharapkan kepada pasukan," katanya.

Semalam, BAM mengesahkan Rosman Razak, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty tidak lagi berada dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan apabila kontrak mereka yang tamat hujung bulan ini tidak disambung.

Rosman ketika ini menggalas tugas sebagai jurulatih beregu lelaki manakala Eei Hui dan Pei Tty bersama skuad beregu wanita negara.

Ketiadaan Eei Hui dan Pei Tty menyaksikan kem skuad beregu wanita kini hanya dibimbing ketua jurulatih, Chan Chong Ming.

Justeru, Choong Hann, berkata kemungkinan besar badan induk itu akan melantik seorang jurulatih bagi membantu Chong Ming.

"Perkara ini dalam perbincangan dan kami akan maklumkan apabila sudah buat keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 9:23 PM