ROSMAN antara jurulatih yang meninggalkan BAM. FOTO NSTP
ROSMAN antara jurulatih yang meninggalkan BAM. FOTO NSTP
Bersama Datuk Seri Jalani Sidek

Minggu lalu kita dikejutkan dengan penamatan kontrak tiga jurulatih iaitu Rosman Razak, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, keputusan itu dibuat selepas melalui penilaian menyeluruh yang dilakukan termasuk pencapaian sejak tahun lalu.

Sebagai pemerhati, saya menghormati keputusan BAM kerana mungkin badan induk itu sudah mempunyai perancangan tersendiri sama ada mahu mencari pengganti atau sememangnya mengecilkan jumlah barisan kejurulatihan.

Namun alangkah elok jika peluang diberikan sedikit masa lagi kepada ketiga-tiga jurulatih itu untuk membuktikan kemampuan mereka terutamanya selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Ini kerana seperti yang kita semua sedia maklum, tidak banyak yang dapat dibuktikan baik pemain atau jurulatih pada tahun ini susulan pandemik yang melanda seluruh dunia itu.

Bukan menafikan keputusan BAM, namun langkah memberikan sedikit peluang lagi kepada barisan jurulatih berkenaan nampak lebih adil.

Apapun BAM sudah membuat keputusan dan kini terpulang kepada badan induk itu sama ada mahu mencari pengganti kepada ketiga-tiga jurulatih berkenaan atau sebaliknya.

Jika mahu mencari pengganti, maka mereka yang menggantikan posisi ketiga-tiga jurulatih itu perlu mempunyai rekod dan pencapaian lebih baik.

Tiada gunanya mengetepikan ketiga-tiga jurulatih berpengalaman itu jika yang hadir menggantikan mereka gagal memberi impak besar kerana pada akhirnya ialah orang di luar akan menilai prestasi pemain di atas gelanggang. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 11:25 PM