Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Mac 2015, jurulatih, Rosman Razak (gambar) akan kembali semula ke pangkuan badan induk berkenaan bermula awal tahun depan.

Menurut Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen, mereka sudah bersetuju melantik Rosman bagi memperkuatkan bahagian beregu lelaki untuk membantu jurulatih sedia ada Jeremy Gan dan Cheah Soon Kit.

“Semuanya sudah dilakukan termasuk dari segi menandatangani kontrak (minggu lalu). Jadi, kami hanya mahu mengumumkan beliau akan kembali ke BAM (bermula 1 Januari 2017). Paling penting kami mahu keseimbangan untuk semua bahagian kerana untuk perseorangan lelaki kita juga mempunyai tiga jurulatih,” katanya.

Jelasnya, sekarang ini ramai pemain yang akan beraksi di luar negara dan mereka sangat memerlukan jurulatih untuk mengiringi ke mana-mana kejohanan.

“Kami mahu setiap bahagian mempunyai penambahbaikan dari segi bilangan jurulatih agar semuanya berjalan lancar di setiap kejohanan,” katanya di sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM semalam.

Rosman mula berkhidmat dengan BAM bermula 2012 apabila menjadi jurulatih beregu wanita, namun pada 2015 beliau bersama Rashid Sidek mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak baru dan menyertai Akademi Badminton Sports Affairs.

Barisan jurulatih BAM untuk 2017 ialah Hendrawan, Tey Seu Bock, Indra Wijaya (perseorangan lelaki), Sairul Amar Ayob, Rony Agustinus (perseorangan wanita), Jeremy Gan, Cheah Soon Kit, Rosman Razak (beregu lelaki), Lim Pek Siah, Wong Pei Tty (beregu wanita), Chin Eei Hui dan Pang Cheh Chang (beregu campuran).

Wong Tat Meng yang sekarang ini membimbing perseorangan lelaki akan meninggalkan BAM hujung bulan depan apabila berkhidmat sebagai ketua jurulatih Scotland bermula Januari 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 7:51 AM