ZII Jia antara pemain yang beraksi di Seluruh England dan negatif Covid-19. FOTO Reuters
ZII Jia antara pemain yang beraksi di Seluruh England dan negatif Covid-19. FOTO Reuters
Syazwan Msar


PULANG ke tanah air dengan kelegaan apabila semua pemain dan barisan kejurulatihan yang menyertai kejohanan Seluruh England di Birmingham disahkan bebas daripada sebarang jangkitan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan memaklumkan seramai 21 pemain dan tujuh jurulatih sudah melakukan ujian saringan bagi mengesan virus berkenaan.

Ujian berkenaan dilakukan oleh pakar daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan semua atlet berkenaan berada dalam keadaan sihat.

“Semua atlet akan berada dalam pemantauan rapi pihak berkaitan dan kami mengikut segala garis panduan yang sudah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Malah, latihan yang dilakukan atlet secara bersendirian turut akan dipantau supaya tidak melanggar arahan yang ditetapkan kerajaan,” kata kenyataan itu.

Mengikut rekod, pemain berkenaan adalah perseorangan wanita, Soniia Cheah; beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen serta beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock selain jurulatih beregu wanita, Rosman Razak dan jurulatih beregu campuran, Chin Eei Hui turut diarahkan menjalani kuarantin.

Menjalani proses sama adalah pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan; jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman dan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 6:08 PM