FERNANDES meraikan jaringannya. FOTO AFP
FERNANDES meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Newcastle: Manchester United kembali ke landasan tepat dengan Bruno Fernandes dan Harry Maguire menjadi watak penting kepada kemenangan 4-1 ke atas Newcastle, hari ini.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer sebelum itu dimalukan 1-6 oleh Tottenham di Old Trafford sebelum cuti rehat untuk aksi antarabangsa.

Selepas Luke Shaw menjaringkan gol ke gawang sendiri sekali gus meletakkan Newcastle di depan, Maguire yang juga kapten United menyamakan kedudukan, beberapa hari selepas dia menerima kritikan hebat susulan dilayangkan kad merah ketika beraksi bersama England di Liga Negara-Negara UEFA bertemu Denmark di Wembley.

Fernandes menebus kehampaan gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua apabila menjaringkan gol minit ke-86 untuk meletakkan United di depan.

Aaron Wan-Bissaka menjadikan kedudukan 3-1 menerusi gol pertamanya untuk United empat minit kemudian sebelum Marcus Rashford menambah gol keempat minit keenam masa kecederaan.

"Keputusan yang bagus dan karakter cemerlang untuk bangkit semula diketuai oleh kapten.

"Harry menjaringkan gol dan menjadi contoh kebangkitan rakan sepasukan lain. Dia menunjukkan karakter yang bagus dan saya gembira dengan prestasinya.

"Dia berdepan kesukaran sejak beberapa minggu lalu.

"Bagi kami, musim ini hanya bermula hari ini apabila pemain menunjukkan prestasi sebenar," kata Solskjaer.

Solskjaer melakukan lima pertukaran berbanding ketika tewas kepada Tottenham apabila Eric Bailly, Nemanja Matic, Paul Pogba, Mason Greenwood dan Anthony Martial digantikan oleh Victor Lindelof, Scott McTominay, Fred, Daniel James dan Juan Mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 8:10 AM