KETANGKASAN Maguire (kanan) mendapat pujian Solskjaer. - FOTO Agensi
KETANGKASAN Maguire (kanan) mendapat pujian Solskjaer. - FOTO Agensi
AFP

OLE Gunnar Solskjaer mengharapkan Harry Maguire dapat mengubah nasib Manchester United selepas menjadikan pemain England itu pertahanan termahal dunia.

Maguire dibeli dengan harga £80 juta (RM402 juta) daripada Leicester, £5 juta (RM25 juta) lebih mahal daripada harga dibayar Liverpool untuk mendapatkan Virgil van Dijk pada Januari 2018 dan pemain pertahanan itu terbukti berjaya mengubah nasib musuh tradisi United itu sehingga mampu menjuarai Liga Juara-Juara.

United pula bolos 54 gol dalam 38 perlawanan musim lalu, rekod terburuk mereka dalam tempoh 40 tahun dengan hanya menduduki tempat keenam dalam liga musim lalu.

Solskjaer percaya Maguire pemain yang akan mengubah keadaan dengan United berdepan Chelsea dalam aksi pembukaan Liga Perdana di Old Trafford malam ini.

"Saya gembira mendapat Harry kerana dia akan menjadi aset bernilai kepada kelab ini,” kata Solskjaer.

"Dia sentiasa menjadi sasaran nombor satu saya. Setiap kali menentang Leicester, terdetik dalam hati saya untuk memiliki pemain ini.

"Saya tak mahu membandingkan kami dengan Liverpool atau Harry dengan Van Dijk tetapi saya Harry bakal mencetuskan impak besar kepada kami.”

Dengan 20 kap bersama skuad England, Maguire mencipta nama dengan memainkan peranan utama ketika Three Lions mara ke separuh akhir Piala Dunia di Rusia.

Dia dikaitkan dengan United selepas itu tetapi terus kekal semusim lagi bersama Leicester dan menjaringkan tiga gol dalam 31 perlawanan.

"Harry sangat tenang ketika mengawal bola dan memberi dimensi baharu kepada pasukan,” kata Solskjaer.

"Harry adalah pemimpin, pemain antarabangsa dikenali ramai, mampu menjaringkan gol dan pertahanan yang sangat bagus.”

Maguire menjadi fokus utama perpindahan musim panas ini dengan dua lagi pembelian baharu, Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace dan Daniel James dari Swansea, kedua-duanya berusia 21 tahun dalam usaha Solskjaer menyuntik tenaga segar dalam skuadnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 10:30 AM