FERNANDES meraikan gol ketiga United di Old Trafford. FOTO AFP
FERNANDES meraikan gol ketiga United di Old Trafford. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Kapten Manchester United Bruno Fernandes menyelamatkan skuadnya menerusi dua gol ketika menang 4-2 ke atas Sheffield United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat sendiri, awal pagi tadi.

United dua kali ketinggalan ketika menentang kelab yang semakin hampir pulang ke Divisyen Dua selepas Jayden Bogle dan Ben Brereton Diaz meletakkan pelawat di depan tetapi Fernandes membantu mengelakkan satu lagi keputusan buruk.

Dia menyamakan kedudukan menerusi penalti minit ke-61 selepas berlaku kekasaran ke atas Harry Maguire, penjaring gol penyamaan pertama United.

Fernandes kemudiannya merembat kencang gol ketiga sebelum membantu Rasmus Hojlund melengkapkan kemenangan di Old Trafford.

"Pada akhirnya kami dapat tiga mata. Kami meletakkan diri sendiri dalam situasi sukar untuk menang tetapi ia juga menunjukkan sedikit karakter," kata pemain Portugal itu.

"Kami menjaringkan banyak gol. Ia hanya mengenai kesatuan yang diperlukan sebagai satu pasukan."

Ia satu lagi persembahan kurang menarik skuad Erik ten Hag yang melepaskan 50 gol liga walaupun kemenangan membolehkan mereka memintas Newcastle United di tangga keenam sekali gus terus memburu tiket Eropah.

"Banyak aspek positif hari ini," kata Ten Hag. "Semangat perjuangan untuk bangkit selepas dua kali tewas. Tetapi ada juga aspek negatif. Kami melepaskannya, ia tak boleh berlaku dan kami perlu belajar daripada ini."

Sheffield United pula hanya meraih 16 mata daripada 34 perlawanan dan akan tersingkir jika tewas di tangan Newcastle hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 8:21 AM