AKSI  Vinicius Junior  menjaringkan gol Madrid. FOTO AFP
AKSI Vinicius Junior menjaringkan gol Madrid. FOTO AFP
AFP

Madrid: Real Madrid merindui kreativiti Eden Hazard yang mengalami kecederaan ketika mereka menang tipis 1-0 ke atas Real Valladolid dalam aksi La Liga, awal pagi tadi.

Vinicius Junior yang masuk menggantikan Luka Jovic memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan dengan mudah menolak bola masuk pada minit ke-65 untuk kemenangan kedua Madrid musim ini.

Tetapi ketumpulan jentera serangan tuan rumah jelas ketara tanpa Hazard yang sepatutnya tampil kali pertama musim ini namun disahkan tidak dapat beraksi semalam selepas mengalami kecederaan otot di kaki kanan.

Hazard terlepas dua aksi pembukaan Madrid dan Zinedine Zidane berharap pemain tengah Belgium itu kembali cergas dan pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali dialami sejak musim lalu.

Kecederaan berasingan itu bermakna Hazard dijangka tersisih dua minggu lagi sekaligus memaksa Madrid bakal beraksi tanpa penyerang berharga 100 juta euro (RM486 juta) itu.

Valladolid pula belum meraih kemenangan selepas empat perlawanan, hanya seri di tempat sendiri ketika menentang Real Sociedad dan Celta Vigo

Sementara itu, Atletico Madrid yang membelasah Granada 6-1 Sabtu lalu gagal mengekalkan momentum selepas hanya seri tanpa jaringan di Huesca.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:30 AM