Eden Hazard menjalani latihan di Madrid. FOTO AFP
Eden Hazard menjalani latihan di Madrid. FOTO AFP
AFP

EDEN Hazard dijangka terlepas aksi pembukaan musim ini selepas mengalami kecederaan paha ketika sesi latihan hari ini, sehari sebelum perlawanan pembukaan La Liga, Real Madrid menentang Celta Vigo.

Hazard sudah bersedia untuk membuat kemunculan pertama di Vigo selepas menyertai Madrid dengan yuran sekitar 100 juta euro daripada Chelsea pada Jun lalu.

Namun pemain Belgium itu mengalami kecederaan di pusat latihan kelab berkenaan di Valdebebas dan dijangka berehat antara tiga atau empat minggu.

“Selepas melakukan beberapa ujian selepas latihan hari ini ke atas pemain kami Eden Hazard oleh anggota Perkhidmatan Perubatan Real Madrid, dia disahkan mengalami kecederaan otot paha kanan,” menurut kenyataan kelab itu.

“Kecederaannya akan dipantau dari masa ke semasa.

Madrid memulakan perlawanan dengan berkunjung ke Celta esok sebelum berdepan Real Valladolid dan kunjungan ke Villarreal sebelum rehat antarabangsa.

Hazard mungkin berada dalam barisan pasukan pada perlawanan Madrid menentang Levante di Santiago Bernabeu pada 1 September.

Ketiadaannya memberi tamparan hebat buat jurulatih Madrid, Zinedine Zidane, yang berharap permulaan positif selepas beberapa keputusan mengecewakan dalam aksi pra musim.

Zidane sudahpun tanpa Ferland Mendy yang mengalami kecederaan betis dan Marco Asensio yang terpaksa diketepikan beberapa bulan selepas mengalami kecederaan ligament.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 11:02 PM