HAZARD dipilih penerima  Anugerah Pemain Terbaik September 2018 EA. - FOTO Agensi
HAZARD dipilih penerima Anugerah Pemain Terbaik September 2018 EA. - FOTO Agensi
Agensi

LONDON: Eden Hazard berkata, dia telah pun membuat keputusan mengenai masa depannya bersama Chelsea tetapi tidak menerangkan lebih lanjut mengenainya.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata, dia mahu meninggalkan Stamford Bridge selepas tamat Piala Dunia lalu dan berpindah ke Real Madrid menjadi impiannya.

"Saya tahu apa yang akan saya lakukan,” kata pemain Belgium itu. "Saya sudah pun membuat keputusan."

Hazard sebelum ini kerap menolak untuk menamatkan spekulasi perpindahannya ke Madrid. Baru-baru ini ketika ditanya sama ada dia berminat berpindah ke Bernabeu, dia berkata, “Mengapa tidak?”

Sumber memberitahu pada awal musim ini Chelsea bersedia menawarkan kontrak baru £290,000 (RM1.53 juta) seminggu jika dia mengetepikan minat Madrid dan menandatangani kontrak jangka panjang.

Tetapi usaha mereka gagal selepas Hazard berulang kali enggan memuktamadkan masa depannya sehingga tamat musim ini sekali gus membuka peluang kepada Real Madrid terus menghampirinya.

Hazard menyertai Chelsea pada musim panas 2012 dan menjuarai trofi Liga Europa, dua trofi Liga Perdana, Piala Carabao dan Piala FA. Dia juga dipilih Pemain Tahunan Terbaik 2014-15.

Dia juga berpeluang menambah koleksi pingat apabila Chelsea menentang Manchester City dalam aksi final Piala Carabao.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 12:24 PM