WILLIAN (kiri) berhijrah ke Arsenal dengan kontrak selama tiga tahun. FOTO AFP
WILLIAN (kiri) berhijrah ke Arsenal dengan kontrak selama tiga tahun. FOTO AFP
AFP

MIKEL Arteta berkata Willian akan menjadi watak penting untuk memacu Arsenal selepas beliau tidak mempunyai sebarang keraguan untuk menandatangani pemain berusia 32 tahun itu dengan kontrak jangka panjang.

Arteta menyambar pemain sayap Brazil itu menerusi kontrak selama tiga tahun bulan lalu selepas kontraknya di Chelsea berakhir.

Willian memenangi dua kejuaraan Liga Perdana sepanjang tempoh tujuh tahun di Stamford Bridge namun berhijrah ke Arsenal menerusi perpindahan secara percuma dengan Chelsea enggan menawarkan kontrak lanjutan kepadanya.

Arteta terdesak untuk memperbaiki prestasi selepas menamatkan saingan di tempat kelapan musim lalu, kedudukan paling rendah diraih Arsenal sejak 1985 dan beliau percaya Willian akan menjadi kunci kepada perubahan pasukan.

"Sepanjang perbincangan saya bersamanya, perkara yang sering diperkatakan adalah cita-cita serta keinginannya untuk menjadi seorang pemain yang mampu membantu kelab dan menjadi sebahagian besar daripadanya," kata Arteta.

"Dia mempunyai kualiti yang sangat istimewa. Dia mempunyai pengalaman luas di Liga Perdana dan sentiasa diperlukan ketika saat penting.

"Willian juga seorang pemain yang tidak pernah gagal turun beraksi. Musim lalu di Chelsea anda dapat lihat jumlah perlawanan dia beraksi termasuklah selepas pandemik Covid-19," katanya.

Arteta berkata beliau tidak kisah untuk mendapatkan pemain berusia lebih 30 tahun.

"Kami perlukan keseimbangan di dalam pasukan ini. Kami mempunyai ramai pemain muda dan mereka memerlukan bimbingan pemain berpengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 7:57 AM