ROGLIC meraikan kejayaannya mempertahankan jersi kuning selepas tamat peringkat perlumbaan ke-14. FOTO AFP
ROGLIC meraikan kejayaannya mempertahankan jersi kuning selepas tamat peringkat perlumbaan ke-14. FOTO AFP
AFP

SENSASI Slovenia, Primoz Roglic sekali lagi mempamer prestasi luar biasa apabila berjaya mengharungi ujian getir di Lyon selepas saingan Tour de France mula memasuki peringkat perlumbaan cabaran pendakian sehingga minggu depan.

Pelumba Denmark, Soren Kragh Andersen dari pasukan Sunweb pula melintasi garisan penamat secara solo untuk memenangi peringkat perlumbaan ke-14.

"Ini adalah penamat yang diidamkan oleh setiap pelumba," kata Andersen.

Dia melakukan gerakan pada kilometer terakhir untuk mencatat kemenangan kedua bagi pasukannya minggu ini selepas Marc Hirschi memenangi peringkat perlumbaan Khamis lalu.

Pendahulu saingan yang juga pemegang jersi kuning, Roglic menjangkakan perlumbaan lebih agresif pada peringkat seterusnya yang menjadi perkara utama difikirkan oleh barisan pelumba pilihan.

"Ia adalah perlumbaan tahap tinggi. Saya jangkakan ia lebih mudah tetapi anda dapat saksikan betapa sukarnya cabaran hari ini.

"Sama-sama kita nantikan apakah cabaran seterusnya. Seperti biasa kami akan cuba untuk bertahan," kata Roglic yang mendahului rakan senegara, Tadej Pogacar dengan kelebihan 44 saat.

Juara bertahan, Egan Bernal kekal di kedudukan ketiga ketinggalan 59 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 9:47 AM