HIRSCHI meraikan kejayaannya selepas melintasi garisan penamat. FOTO AFP
HIRSCHI meraikan kejayaannya selepas melintasi garisan penamat. FOTO AFP
AFP

SEMANGAT tidak pernah mengenal berputus asa Marc Hirschi membuahkan hasil selepas pelumba Switzerland itu memenangi peringkat ke-12 Tour de France sekali gus menebus dua kekecewaan sebelum ini.

Tiada sebarang perubahan untuk kedudukan keseluruhan menjelang cabaran pendakian dengan pelumba Jumbo, Primoz Roglic kekal mendahului 21 saat di depan juara bertahan dari pasukan Ineos, Egan Bernal.

Hirschi yang berusia 22 tahun, dikecewakan digarisan penamat oleh Julian Alaphilippe pada peringkat kedua.

Dia kemudian berdepan satu lagi kekecewaan selepas gandingan Slovenia, Tadej Pogacar dan Roglic memerangkapnya di Laruns pada peringkat kesembilan.

Namun kali ini Hirschi sudah menemui formula terbaik dengan menamatkan saingan secara solo di peringkat perlumbaan sejauh 218 kilometer (km) yang juga laluan terpanjang pada edisi kali ini.

"Saya tidak dapat tidur dengan lena selain pernah melalui kekecewaan tetapi saya beritahu kepada diri sendiri untuk teruskan cabaran ini.

"Saya seperti tidak mempercayainya dan malah pada kilometer terakhir, saya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi untuk menang.

"Saya hampir-hampir menang sebanyak dua kali. Pada Ahad lalu saya terperangkap ketika berbaki 1.6km ke garisan penamat. Faktor taktikal menyebabkan saya tewas ketika itu," katanya.

Hirschi diberi cabaran sekali lagi oleh Alaphilippe di hujung saingan namun lawannya itu ketinggalan selepas dia melakukan henjutan ke garisan penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 12:23 PM