SHAHRUL lega perubahan jadual beri keselesaan buat pemain. FOTO NSTP
SHAHRUL lega perubahan jadual beri keselesaan buat pemain. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


PERUBAHAN jadual Liga Malaysia (Liga-M) yang diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengundang seribu satu senyuman pemegang taruh kerana lebih praktikal bagi memastikan pemain mendapat waktu rehat secukupnya untuk beraksi tiap perlawanan.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin berkata, memandangkan semua pasukan sudah tidak mengadakan sebarang aksi kompetitif selama lima bulan, pemain berisiko mengalami kecederaan jika liga terlalu padat.

Jelasnya, jadual perlawanan yang membabitkan hanya sekali pada setiap minggu akan membantu pemain kembali menyesuaikan diri meraih kecergasan yang diperlukan bagi hadapi perlawanan yang kompetitif.

"Kita tahu tempoh masa ketika liga diberhentikan pada Mac lalu sehingga Ogos, adalah satu tempoh yang cukup panjang, jadi perubahan jadual ini memang bersesuaian kepada semua pemain yang lama berehat.

"Sudah tentu kita tidak mahu pemain mudah mendapat kecederaan jika bermain pada pertengahan minggu dan hujung minggu, jadi jadual yang baharu ini memang bersesuaian untuk pemain perlahan-lahan mendapat rentak," katanya.

Nada sama turut disambut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Asri Ninggal apabila mengakui tindakan MFL membuat perubahan jadual adalah tepat selepas tiada sebarang aksi membabitkan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa bagi tahun ini.

"Apabila jarak perlawanan yang agak jauh, kedua-dua pasukan yang turun nanti pasti dapat tampilkan aksi lebih baik kerana pemain masing-masing mendapat rehat yang cukup.

"Saya ambil contoh pasukan Melaka, kita akan ada perlawanan yang akan ke Sabah (perlawanan ke-9) dan selepas itu terus menuju ke Kedah (perlawanan ke-10), jadi berdasarkan jadual yang baharu ini, sememangnya ini cukup melegakan.

"Jadi, pemain mempunyai masa rehat yang cukup dan jurulatih juga boleh melakukan persiapan yang lebih baik kerana tujuh perlawanan akan datang ini cukup getir kerana akan menentukan sama ada kami boleh kekal atau tersingkir ke Liga Perdana.

"Ditambah bila pasukan kebangsaan tiada perlawanan untuk tahun ini, saya fikir penumpuan pemain juga akan lebih baik dengan pasukan masing-masing serta membantu ketua jurulatih melakukan persiapan secukupnya," kata Asri.

Sebelum ini, MFL menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-22 pada Rabu lalu membuat keputusan meminda tarikh mula Liga-M pada 28 Ogos selepas mengambil kira faktor penundaan tarikh pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, penetapan tarikh itu tertakluk kepada tarikh perlawanan peringkat domestik, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 10:55 PM