AB Ghani menggesa setiap pasukan mengikut SOP ditetapkan. FOTO Agensi
AB Ghani menggesa setiap pasukan mengikut SOP ditetapkan. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi peringatan kepada semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menjaga diri dan elak daripada dijangkiti Covid-19.

Ingatan itu penting supaya Liga-M dapat berjalan mengikut jadual tanpa ada sebarang perubahan dan gangguan ekoran kesan daripada pandemik itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pemain wajib mengikut prosedur operasi standard (SOP) sama ada ketika bersama pasukan mahupun di luar dengan keluarga dan rakan.

Jelasnya, masa depan liga tempatan terletak di tangan semua pihak termasuk pemain dan pegawai tanpa sebarang masalah untuk dilangsungkan jika sudah mendapat lampu hijau dari kerajaan.

"Pasukan-pasukan termasuk pegawai dan pemain diharapkan sentiasa menjaga SOP dan keselamatan masing-masing kerana kita semua punyai tugas tersendiri.

"Kita harapkan liga pada 2021 dapat berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah yang membabitkan Covid-19 daripada sebarang pasukan seperti mana kita lakukan pada musim 2020, " katanya.

Pada Isnin lalu, kerajaan menerusi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa kelmarin hingga 26 Januari depan.

Beliau berkata, enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah manakala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Manakala dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

Pelaksanaan PKP itu bermakna sebarang aktiviti seperti sukan berkumpulan yang membabitkan latihan dan perlawanan bola sepak, tidak dibenarkan sama sekali buat masa ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 2:09 PM