NAGELSMANN harap mampu memberikan aksi terbaik ketika berdepan skuad bimbingan Tuchel. FOTO AFP
NAGELSMANN harap mampu memberikan aksi terbaik ketika berdepan skuad bimbingan Tuchel. FOTO AFP
AFP

BOS RB Leipzig, Julia Nagelsmann berkata, beliau gembira dapat berdepan bekas mentor dan jurulatih Paris Saint Germain (PSG), Thomas Tuchel dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara selepas pasukannya berjaya menumpaskan Atletico Madrid.

Leipzig, yang baru saja ditubuhkan pada 2009, mara ke separuh akhir dalam penampilan pertama mereka di pusingan kalah mati selepas pemain tengah Amerika Syarikat, Tyler Adams menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88.

Ia mengesahkan kemenangan kelab Jerman itu selepas sepakan penalti Joao Felix yang berjaya memadamkan gol pembukaan hasil tandukan Dani Olmo pada awal separuh masa kedua.

Leipzig selepas ini akan berdepan PSG awal pagi Rabu, di Lisbon untuk memburu slot ke final yang dijadualkan berlangsung pada 23 Ogos.

Jurulatih PSG, Tuchel, 46, yang memberi peluang kepada Nagelsmann untuk memulakan karier 12 tahun lalu di Augsburg di mana ketika itu beliau bermula sebagai ejen pencari bakat sebelum menjadi jurulatih.

"Mereka adalah pasukan yang hebat bersama jurulatih hebat. Saya sering bermain (sebagai jurulatih) dengannya (Tuchel) tapi jarang menang.

"Ia perlu diubah sekarang. Saya juga akan berasa puas hati jika corak permainan buruk tapi berjaya memenangi perlawanan," kata Nagelsmann, 33, yang terpaksa menamatkan kariernya pada 2008 akibat kecederaan lutut.

Ketika menjadi jurulatih Hoffenheim, Nagelsmann tewas dua kali dan seri sekali berdepan Tuchel, yang mengendali Borussia Dortmund dalam saingan Bundesliga di antara 2016 hingga 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 9:35 AM