Arul Selvaraj. FOTO NSTP
Arul Selvaraj. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) sebulat suara memilih Arul Selvaraj sebagai Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki kebangsaan yang baharu menggantikan Roelant Oltmans selepas kontrak Roelant bersama MHC ditamatkan menerusi persetujuan kedua-dua pihak.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan perkara itu selepas mencapai kata sepakat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan kali kelima dengan tugas Arul akan berkuat kuasa serta merta.

Arul sebelum ini diserap masuk ke dalam struktur kejurulatihan skuad senior lelaki kebangsaan sebagai Ketua Penolong Jurulatih yang akan berkuat kuasa 15 Ogos ini namun beliau akan hadir pada tarikh yang sama dengan jawatan yang berbeza iaitu sebagai Ketua Jurulatih.

Sementara menanti kehadiran Arul Selvaraj dari Dublin, Ireland, tanggungjawab untuk meneruskan sesi latihan skuad kebangsaan akan digalas oleh Penolong Jurulatih, Muhammad Amin Rahim bersama Nasihin Nubli Ibrahim.

"MHC mengumumkan secara rasmi Roelant Oltmans tidak lagi memegang jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan dan ianya adalah berdasarkan persetujuan bersama antara kedua-dua pihak. Kami juga menghargai jasa beliau sepanjang dua tahun berkhidmat.

"Pihak MHC ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang beliau berikan kepada skuad kebangsaan.

"Selepas Jawatankuasa Kejurulatihan bermesyuarat, kami secara rasminya melantik Arul Selvaraj sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan yang baru berkuat kuasa serta merta. Arul akan memulakan tugasnya pada 15 Ogos ini selepas beliau menamatkan tempoh kuarantin wajib selepas tiba di Malaysia dari Dublin.

"Arul diberikan kontrak dua tahun dan beliau akan mempersiapkan pasukan untuk kejohanan yang akan datang. Arul juga akan diberikan peluang untuk memilih pemain yang beliau rasakan perlu untuk berada di dalam pasukan kebangsaan.

"Dengan penganjuran Piala Tun Abdul Razak pada tahun ini, di mana kami membenarkan semua pemain kebangsaan untuk mewakili negeri masing-masing, kejohanan itu juga akan digunakan oleh Arul serta barisan kejurulatihannya untuk memilih pemain yang beliau rasakan patut berada di dalam skuad kebangsaan," katanya.

Oltmans dilantik selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan bermula Oktober 2018 menggantikan Stephen Van Huizen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 3:15 PM